Pada zaman dahulu, terjadinya suatu  perdebatan antara golongan Atheis (tidak percaya kewujudan Tuhan) dengan  seorang pemuda yang beragama Islam. Pemuda ini datang bersama gurunya  dan gurunya telah diajak berdebat dengan golongan Atheis itu namun tidak  dibenarkan pemuda itu, katanya: “Tak selayaknya seorang ulama besar  berdebat di dalam majlis sebegini, cukuplah diserahkan kepada muridnya  yang masih muda ini untuk berbincang-bincang dengan mereka-mereka ini.”
Semua yang ada di dalam majlis ketika  itu terkejut dengan keberanian pemuda ini. Maka bermulalah perdebatan di  antara mereka. Bila mana pemuda ini duduk duduk pada tempat yang  disediakan maka serentak dengan itu salah seorang Atheis terus  mengajukan soalan:
Soalan Pertama
Atheis: “Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”
Pemuda tersebut tersenyum lalu menjawab:  “Allah Taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan  sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia  melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak.”
Soalan Kedua
Atheis: “Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”
Pemuda itu seraya menjawab: “Allah Taala  itu wujud sebelum adanya zaman, sedangkan zaman itu sendiri adalah  ciptaanNya, mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya.”
Soalan Ketiga
Atheis: “Cuba kamu berikan kepada kami  sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini.  Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?”
Pemuda itu menjawab: “Kamu pandai mengira?”
Kelompok Atheis itu menjawab: “Tentu sekali kami pandai mengira.”
Pemuda itu meneruskan ucapannya: “Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor empat (4)?”
Atheis: “Nombor 3″
Pemuda: “Nombor sebelum 3?”
Atheis: “Nombor 2″
Pemuda: “Nombor sebelum 2?”
Atheis: “Nombor 1″
Pemuda: “Nombor sebelum 1?”
Atheis: “Tiada”
Pemuda: “Nombor sebelum 3?”
Atheis: “Nombor 2″
Pemuda: “Nombor sebelum 2?”
Atheis: “Nombor 1″
Pemuda: “Nombor sebelum 1?”
Atheis: “Tiada”
Pemuda itu tersenyum lalu memberikan  penerangan: “Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sebelumnya tiada  mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui  bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada nombor itu  sendiri?”
Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut  dengan jawapan yang padat dan bernas daripada pemuda itu. Ternyata  mereka silap perkiraan bila mana berhadapan dengan anak muda ini. Pada  mulanya mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun  telahan mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.
Soalan Keempat
Atheis: “Tahniah anak muda di atas  jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang  selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah  Tuhan kamu mengadap?”
Pemuda itu menjawab: “Jika aku bawa  sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada  arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”
Kelompok Atheis menjawab: “Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah.”
Pemuda itu berkata: “Jika cahaya yang  diciptakanNya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah  manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik Cahaya langit dan bumi ini  sendiri?”
Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada pemuda itu bersorak kegembiraan. Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.
Soalan Kelima
Atheis: “Bolehkah kamu terangkan kepada  kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau  jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu  dan asap?”
Pemuda itu sekali lagi tersenyum. Beliau  menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali  mendengar persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai tertunggu-tunggu  penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh pemuda itu.
Pemuda itu menjawab: “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”
Atheis menjawab: “Tentu sekali.”
Pemuda itu meneruskan: “Bila mana orang sakit tadi mati, bolehkah kamu bercakap dengannya?”
Atheis menjawab: “Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”
Pemuda itu meneruskan: “Sebelum dia mati  kamu boleh bercakap-cakap dengannya, namun selepas dia mati, terus  jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi  sebenarnya?”
Kelompok Atheis tertawa lalu memberikan  jawapan: “Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak  muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan  bergerak . Ini kerana rohnya telah terpisah daripada jasadnya.”
Pemuda itu tersenyum mendengar jawapan  mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa rohnya telah terpisah  daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang,  bagaimanakah bentuk roh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau  ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang  berterbangan?”
Tertunduk kesemua Atheis tersebut bila  mana mendengar persoalan pemuda bijak tersebut. Ternyata olokan mereka  sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.
Kelompok Atheis menjawab dengan keadaan penuh malu: “Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya.”
Pemuda itu lalu meneruskan bicaranya:  “Jika makhluknya seperti roh itu pun kamu tidak mampu untuk  menerangkannya kepada aku, bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku  menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Roh serta sekalian alam ini?”
Soalan Keenam
Atheis: “Di manakah Tuhan kamu duduk sekarang?”
Pemuda itu kembali bertanyakan soalan  kepada mereka: “Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui  bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu  terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?”
Kelompok Atheis menjawab: “Kami tidak  dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu  tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu  tersebut.”
Pemuda itu seraya berkata: “Kamu sendiri  lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi.  Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya, masakan  pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat  duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu  ini.”
Soalan Ketujuh
Atheis: “Kami pelik bagaimana jika masuk  ke dalam syurga ada permulaannya (iaitu selepas dihisab oleh Allah  Taala di padang Mahsyar) namun bila mana sudah berada di dalamnya maka  tiada lagi pengakhirannya (maksudnya tiada kesudahannya dan akan  selama-lamanya di dalam syurga)?”
Pemuda itu tersenyum lagi lalu menjawab:  “Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada  nombor. Ianya bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu  terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai  nombor?”
Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.
Pemuda itu tersenyum melihat kelompok  Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan. Kemudian  beliau menyambung bicaranya: “Nah, kamu sendiri tidak mampu untuk  menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya sudah  tersedia di hadapan mata kepala kamu.”
Soalan Kelapan
Atheis: “Kami ingin bertanya lagi,  bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan  kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah  perkara yang tidak masuk akal.”
Pemuda itu tenang membetulkan  kedudukannya. Lalu beliau menjawab: “Aku dan kamu sebelumnya pernah  berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di  dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita.  Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu?  Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”
Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini.
Soalan Kesembilan
Ia soalan terakhir yang ditanyakan oleh  kelompok Atheis tersebut kepada pemuda itu bila mana mereka telah mati  kutu dan sudah terlampau malu ialah berkenaan: “Jika kamu terlalu bijak ,  apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”
Maka pemuda itu menjawab dengan tenang:  “Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar  tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada  di bawah. Jawapan hanya boleh diberikan bila mana aku berada di atas  mengambil alih tempatmu.”
Kelompok Athies itu lalu bersetuju  dengan cadangan pemuda tersebut, lalu mereka bertukar tempat. Pemuda itu  naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.
Bila mana pemuda itu sudah berada di  atas, terus beliau menjawab: “Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang  Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang  meninggikan yang Haq (dengan menaikkan pemuda itu ke atas) dan  menurunkan yang Batil (dengan menurunkan kelompok Atheis tersebut ke  bawah).”
Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada  lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan  oleh pemuda itu dengan penuh hikmah.
Walau sudah hampir ribuan tahun pemuda  itu meninggalkan kita, namun namanya disebut orang seolah-olah beliau  masih hidup di sisi kita. Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah  Nu’man bin Thaabit r.a serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin  dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah wafat.


 
 
 

