![]()  | 
| Pic via www.digitalmukmin.com | 
Suatu hari, datang Sa’ad bin Assulami  kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah, apakah akan terhalang  seseorang itu masuk syurga disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh?”  Lalu Rasulullah bersabda: “Tidak, demi Allah yang jiwa aku di tangannya  selama kamu yakin kepada Tuhan kamu dan ajaran Rasul-Nya.”
Maka Sa’ad berkata: “Ya Rasulullah, demi  Allah yang memuliakan kamu dengan kenabian. Saya mengucapkan kalimah  syahadat kira-kira lapan bulan lalu dan saya datang ke sini untuk  meminang orang yang ada di sini, tetapi semua mereka menolak kerana  mengatakan saya ini hitam dan hodoh”. Sa’ad berkata lagi: “Ya  Rasulullah, sebenarnya saya adalah daripada keturunan yang baik iaitu  suku Bani Sulaim, hodohnya saya adalah daripada keturunan ibu saya.”
Kemudian Rasulullah bertanya kepada yang hadir: “Adakah Amru bin Wahab yang baru masuk Islam  daripada suku Tsaqief berada di sini?” Maka yang hadir berkata: “Tidak  ya Rasulullah.” Lalu Rasulullah bertanya kepada Sa’ad: “Adakah kamu  mengetahui di mana rumahnya?” Sa’ad berkata: “Ya, saya tahu di mana  rumahnya, ya Rasulullah.” Rasulullah berkata: “Pergilah kamu ketuk  rumahnya perlahan-lahan kemudian kamu beri salam kepadanya. Apabila dia  mengizinkan kamu masuk, maka katakan kepadanya bahawa Rasulullah  mengahwinkan aku dengan puterinya.”
Amru mempunyai seorang puteri yang  cantik dan cerdik iaitu Atiqah. Selepas Sa’ad tiba di rumah Amru, dia  disambut dengan baik walaupun Amru tidak berapa senang dengan  kedatangannya disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh. Amru semakin  tidak senang apabila Sa’ad menyampaikan kata-kata Rasulullah. Dia  menolaknya dengan cara kasar hingga menyebabkan Sa’ad keluar dan terus  bertemu Rasulullah.
Selepas Sa’ad pergi, maka puterinya  berkata: “Wahai ayah, carilah selamat sebelum turunnya wahyu membuka  perbuatan kamu. Jika benar Rasulullah mengahwinkan aku dengan orang itu,  maka aku terima dengan hati terbuka dan rela atas apa yang diredakan  oleh Allah dan Rasul-Nya untukku.”
Maka pergilah Amru ke majlis Rasulullah  dan dia ditegur oleh orang yang berada di situ: “Jadi kamulah orang yang  menolak pinangan Rasulullah?” Amru berkata: “Ya benar, tetapi aku minta  ampun kepada Allah kerana aku sangka dia berdusta. Apabila aku dapati  dia benar maka aku terima dia dan sedia mengahwinkan dia dengan  puteriku. Kami berlindung jangan sampai Allah dan RasulNya menjadi  murka.”
Selepas itu, Sa’ad pun dikahwinkan  dengan mahar sebanyak 400 dirham. Rasulullah memberitahu khabar itu  kepadanya dan menyuruhnya pergi kepada isterinya. Lalu Sa’ad berkata:  “Ya Rasulullah, demi Allah yang mengutuskan kamu sebagai nabi, saya  sesungguhnya tidak ada wang dan saya terpaksa minta daripada saudara  saya.”
Rasulullah berkata: “Mahar untuk isteri  kamu ditanggung oleh tiga orang daripada kaum mukminin. Pergilah kamu  kepada Usman bin Affan dan kamu akan terima sebanyak 200 dirham.  Kemudian kamu pergi kepada Abdurrahman bin Auf, kamu akan mendapat 200  dirham dan kamu pergi kepada Ali bin Abi Talib, juga sebanyak 200  dirham.”
Maka Sa’ad pun pergi ke rumah Usman dan  menerima lebih daripada yang disebut Rasulullah, kemudian kepada  Abdurrahman, dia menerima lebih daripada 200 dirham dan akhir sekali ke  rumah Ali, juga menerima lebih 200 dirham. Sebaik saja Sa’ad mendapat  wang itu, dia pergi ke pasar untuk membeli buah tangan untuk isterinya,  tetapi tiba-tiba dia mendengar suara yang mengatakan: “Hai kuda Allah,  bergeraklah kamu!
Kemudian Sa’ad mendengar suara  Rasulullah berkata: “Keluarlah kamu untuk berjihad! keluarlah untuk  berjihad!” Maka Sa’ad memandang ke langit sambil berdoa: “Ya Allah,  Tuhan Pencipta langit dan bumi, Tuhan kepada Muhammad maka akan aku  gunakan wang ini untuk membeli sesuatu yang lebih disukai Allah dan  Rasul.”
Sa’ad menggunakan wang itu untuk membeli  kuda, pedang, tombak dan perisai lalu dia menguatkan ikatan serban  serta pinggangnya. Dia memakai topi yang cuma kelihatan dua biji mata  saja lalu dia berdiri tegak di barisan depan Muhajirin hingga semua  orang bertanya kepada Ali. 
Maka Ali berkata: “Biarkan, mungkin dia dari  Bahrain atau dari Syam dan mungkin dia datang untuk menanyakan agama  sebab itu dia ingin mengorbankan diri untuk keselamatan kamu.”
Kemudian Sa’ad maju ke depan dengan  menggunakan tombak dan pedangnya untuk memukul serta memenggal kepala  orang kafir. Sa’ad berjuang hingga kudanya sendiri tidak kuat lagi, maka  dia pun turun daripada kudanya, dia menyinsing lengannya maka dilihat  oleh Rasulullah lengannya yang hitam, lalu Rasulullah berkata: “Adakah  kamu Sa’ad?” Maka Sa’ad mengaku dan terus menghadapi musuh. Akhirnya  beliau gugur sebagai syahid.
Sebaik saja Sa’ad gugur, Rasulullah  segera mendapatkannya lalu mengangkat kepalanya dan diletakkan di atas  pangkuan Baginda sambil mengusap tanah yang melekat di mukanya. Baginda  bersabda: “Alangkah harum bau kamu, alangkah kasihnya Allah dan Rasul  kepada kamu.” Rasulullah menangis dan kemudian tertawa, lalu Baginda  memalingkan mukanya serta bersabda: “Kini dia sudah sampai di Haudh,  demi Tuhan yang mempunyai Kaabah.”
Selepas Rasulullah berkata demikian maka  Abu Lubabah bertanya: “Ya Rasulullah, apakah Haudh itu?” Maka  Rasulullah pun menerangkan: “Haudh itu ialah telaga yang diberikan Allah  kepadaku dan lebarnya ialah di antara Shan’aa Yaman hingga Busra, di  tepi telaga dihiasi permata dan mutiara, airnya lebih putih daripada  susu dan rasanya lebih manis daripada madu, barang siapa yang minum  sekali, maka dia tidak akan haus untuk selama-lamanya.”
Kemudian Rasulullah ditanya lagi: “Ya  Rasulullah, mengapakah engkau menangis dan kemudian ketawa dan terus  berpaling muka daripadanya?” Lalu Rasulullah bersabda: “Aku menangis  kerana rindu kepada Sa’ad dan aku tertawa kerana gembira melihat  kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya. Aku berpaling daripadanya  sebab aku melihat bakal isterinya yang terdiri daripada bidadari  berebut-rebut untuk mendekatinya hingga terbuka betis mereka, maka aku  pun memalingkan segera mukaku kerana malu.”
Kemudian Rasulullah pun menyuruh orang  mengumpulkan pedang, tombak dan kuda Sa’ad untuk diserahkan kepada bakal  isterinya yang sudah diakad nikah. Selepas itu, Rasulullah memberitahu  Amru (mentua Sa’ad), “Sesungguhnya Allah mengahwinkan Sa’ad dengan  bidadari yang lebih cantik daripada puteri kamu.” 

No comments:
Post a Comment